Borneo Heart: Curator’s Notes

BORNEO HEART
Tikar & Tamu

Tikar, seperti yang akan diceritakan kepada kita oleh Yee I-Lann dan seperti yang diketahui oleh sesiapa yang pernah membesar di Asia Tenggara, digunakan untuk bermacam-macam tujuan—untuk tidur, makan, mengeringkan ikan atau padi; untuk mengadakan pertemuan dan perayaan komuniti; untuk melakukan sembahyang dan pelbagai upacara.

Komuniti-komuniti yang berbeza memanggil tikar anyaman dengan nama yang berbeza. Walaupun ia semakin jarang digunakan dalam kehidupan moden di bandar-bandar, banyak komuniti di Sabah, Borneo, Asia Tenggara dan malah dunia yang lebih luas, masih mengekalkan beberapa tradisi tertentu berhubung dengan anyaman tikar dan motif-motif khususnya, dan dengan itu tikar turut membawa pelbagai sejarah dan makna. Tikar hampir selalunya dianyam oleh kaum wanita.

 

Bagi Yee I-Lann, yang telah menghasilkan dan mempamerkan karya seninya di arena seni kontemporari antarabangsa selama lebih daripada dua dekad, perjalanannya dengan tikar bermula sebagai satu cara untuk mencari dan menemui komuniti apabila dia memindahkan lokasi praktis seninya dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sekitar 2016/2017.

Sebagai artis, aktivis dan pemikir, kerja dan aktiviti yang I-Lann lakukan sentiasa menyentuh tentang bermacam-macam hal yang penting dan mendesak dalam dunia masa kini. Melalui karya-karya fotomedianya, dia menjadi pencantum imej dan penganyam cerita yang menggabungkan pengalaman peribadi dengan estetika popular serta beraneka budaya dan sejarah tempatan dan Asia Tenggara dalam sebuah ruang imaginari yang kritikal. Apabila dia membuat suatu perubahan besar dalam praktis seninya, tikar mula mewakili sebuah “ruang di mana bermacam-macam perkara dapat dihidupkan”.

Di atas tikar, semua orang dialu-alukan, semua orang duduk pada paras yang sama dan apa sahaja boleh berlaku. Tikar merupakan objek yang berkait rapat dengan rumah tangga, kawasan/budaya setempat serta kaum wanita, di samping bersifat demokratik lagi egalitarian. Tikar menawarkan satu cara berfikir dan memikirkan semula mengenai bagaimana kita menggunakan dan berkongsi ruang—ruang komuniti (politik), ruang bercerita, ruang menghasilkan budaya dan menjana ekonomi (pengkaryaan seni).

I-Lann meneroka dan mengkaji konsep ini, dan pada awal 2018 mula bekerjasama dengan beberapa penganyam dari Keningau yang mempunyai hubungan dengan Pusat Kraftangan Sabah dan juga dari Pulau Omadal di Semporna untuk menghasilkan tikar sebagai karya seni kontemporari yang dibuat secara kolaboratif.

Bagi Julitah Kulinting, ketua pelatih anyaman pus buluh di Pusat Kraftangan Sabah, dan pasukannya, projek usaha sama menganyam tikar ini menyediakan satu peluang mustahak untuk membuat eksperimen dan pembaharuan dalam sebuah industri yang sangat bergantung pada pengeluaran barang secara besar-besaran, kebanyakannya bakul dan sirung, terutamanya untuk industri pelancongan. Pada hari ini, kebanyakan tikar yang dihasilkan oleh komuniti-komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman seperti Dusun/Murut adalah untuk tujuan praktikal, dengan tikar-tikar yang tidak bercorak digunakan untuk bermacam-macam upacara. 

Bagi penganyam-penganyam wanita dari suku kaum Bajau Sama DiLaut yang tidak bernegara dan tinggal di Pulau Omadal, tujuan utama menganyam tepo adalah sebagai sumber mata pencarian buat menyara keluarga. Warisan tepo yang mereka anyam untuk tujuan-tujuan khusus, seperti sebagai hantaran kahwin, sebelum ini sudah hampir lenyap semuanya. Suatu kegiatan ekonomi alternatif berjaya diwujudkan menerusi projek kolaborasi seni ini dan melalui penjualan tikar-tikar dengan reka bentuk yang mereka cipta sendiri hasil daripada projek usaha sama ini. Dengan adanya pendapatan yang dijana menerusi kerja kraftangan mereka, komuniti ini semakin kurang bergantung hidup pada aktiviti perikanan dan mereka boleh tinggal di rumah bersama anak-anak. Buat ketua kolaborator projek ini, Roziah Jalalid, pendokong pemuliharaan laut, pembikin filem dokumentari serta Pengerusi WAPO (Persatuan Wanita Pulau Omadal) dari komuniti Bajau Laut yang berwarganegara Malaysia, atau Bajau Tempatan seperti yang mereka sendiri panggil, di Pulau Omadal, usaha menghidupkan semula anyaman tepo juga dapat mengurangkan kerosakan terhadap persekitaran laut yang amat penting dan kian terancam yang terletak dalam kawasan Segitiga Batu Karang.

Memandangkan projek usaha sama antara I-Lann dengan komuniti-komuniti penganyam ini sudah berkembang dan menjadi lebih besar, dengan tikar-tikar anyaman mereka ditempah oleh pelbagai institusi dan untuk beberapa pameran di sekitar rantau Asia Pasifik, sudah sampailah masanya untuk menghimpunkan suatu siri karya dalam sebuah pameran, bermula di tempat mereka sendiri. Pameran sulung Borneo Heart di Kota Kinabalu ini menampilkan sebuah karya instalasi yang melibatkan 60 bidang tikar, beberapa karya tikar bersaiz besar, sebuah arca anyaman, karya-karya berbentuk fotomedia dan video yang membabitkan beberapa orang penari, jurufoto, pembikin video dan kawan, serta sebuah kedai menjual tikar-tikar dan barang-barang cenderamata istimewa yang dibuat oleh penganyam-penganyam tersebut. Jika tiada masalah lagi dengan pandemik nanti, sebuah tamu (atau pasar) hujung minggu turut dirancang untuk diadakan di bawah kelolaan KeTAMU.

Borneo Heart merupakan sebuah pameran yang bertemakan perkongsian tikar (dalam bahasa Melayu) atau apin (Murut) atau tepo (Bajau Sama DiLaut): “Apabila anda datang dan duduk di atas tikar untuk suatu pertemuan atau majlis keraian dan tiada lagi ruang di atas tikar itu, tuan rumah akan cepat-cepat menghamparkan sebidang lagi tikar untuk menyediakan ruang kosong.” (Yee I-Lann)

Dengan cara ini, siri karya yang ditampilkan dalam pameran Borneo Heart menjadi semakin besar sehingga mencakupi pelbagai praktis, komuniti dan orang perseorangan, dan pameran itu  sendiri turut membabitkan beberapa institusi sokongan, kumpulan mandiri dan golongan profesional. Dengan itu, Borneo Heart berfungsi sebagai pentas untuk perkongsian dan pertukaran yang memperlihatkan fungsi keanekaragaman dalam tamu tradisional di mana pelbagai komuniti yang tinggal di kawasan bukit, dataran, sungai dan laut di Sabah datang bertemu untuk bertukar-tukar barang, ilmu, kemahiran dan cerita. 

Dalam pameran ini kita temui bermacam-macam cerita tentang tempat tinggal, cinta, bahasa, kuasa dan komuniti.

Ia bermula di kompleks Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah yang baru siap dibina di atas bekas tapak asal Pelabuhan Jesselton, bertentangan dengan Pulau Gaya, di mana Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pertama kali mendirikan “ibu negeri” di Api-Api yang kemudiannya musnah dibakar oleh pahlawan Bajau Mat Salleh pada 1897. Kawasan ini sentiasa menjadi kampung halaman untuk orang Bajau. Bahagian belakang Pusat Konvensyen ini menghadap ke Bukit Bendera dan bandar Kota Kinabalu, dengan Gunung Kinabalu terletak di sebelah timur lautnya.

Pameran ini dilangsungkan di dalam dua buah bangunan tambahan yang disambungkan oleh sebuah medan yang luas di hadapan bangunan utama di tengah-tengah. Salah sebuah bangunan tambahan itu menghadap ke arah laut dan sebuah lagi ke arah Bukit Bendera.

Tanah & Air
paths of the wind weave shadows bare bones of a mat

Kita boleh bermula dengan berjalan menghala ke arah laut. Pada dinding kaca di dalam bangunan tambahan yang menghadap ke Laut China Selatan digantung sebidang tikar mengkuang berukuran 4 x 5 meter. Di atas tikar itu, tulisan “Tanah & Air” yang diolah dengan corak-corak jalur, petak dan siku keluang dengan warna-warna pencelup terang yang digunakan oleh komuniti Bajau Sama DiLaut terpampang setinggi manusia. Berjudul tanahairku #oo2, karya tikar yang digantung itu menjadi papan iklan yang mengumumkan konsep utama pameran Borneo Heart, iaitu percantuman antara tanah dan air untuk membentuk perkataan tanahair. Dalam sejarah memang diketahui wujud rasa permusuhan dan kesangsian antara komuniti-komuniti darat dengan komuniti-komuniti laut di Sabah, satu perkara yang malah masih lagi mencirikan dan menunjangi politik masa kini. “Tanah & Air” merupakan kenyataan yang dihasilkan oleh penganyam-penganyam Bajau yang tidak berwarganegara dan juga yang berwarganegara Malaysia bagi meluahkan perasaan keterikatan mereka terhadap suatu tempat; ia menyampaikan pesanan dari komuniti-komuniti laut kepada komuniti-komuniti darat bahawa mereka semua sama-sama mendiami dan menjadi sebahagian daripada kawasan ini. Di dalam bangunan bertentangan, karya tanahairku #003 memaparkan pesanan yang sama yang dianyam di atas pus buluh dan diwarnakan dengan warna hitam kayu obol oleh penganyam-penganyam Dusun/Murut dari Keningau. Di bahagian atasnya, sebarisan motif segi tiga kecil menggambarkan gunung-ganang di kejauhan dan di bahagian bawahnya sebarisan motif segi tiga yang lebih besar tampak seperti ombak laut. 

Apabila anda memandang ke luar jendela kaca, anda melihat Pulau Gaya yang dihuni oleh sebuah komuniti besar Orang Bajau yang tidak bernegara. Bahagian hujung sebidang tikar teramat panjang, yang lebarnya sempit berwarna-warni sepanjang 62.79 meter ditarik ke arah laut, dan bahagian pangkalnya digulung. Tikar ini merupakan sebuah kamus atau sumber rujukan tentang warisan corak anyaman yang digunakan dalam semua komuniti Bajau; sebuah indeks mengenai ilmu yang diturunkan, untuk dipelajari dan dikongsi bersama. Di Pulau Omadal di Semporna, yang terletak betul-betul bertentangan di sebelah satu lagi negeri Sabah merentasi kawasan pedalaman, dari atas kita melihat penganyam-penganyam di sana merentangkan tikar reben ini dari jeti kecil di kampung Kak Roziah di atas pulau itu, tempat tinggal Orang Bajau tempatan, menghala ke rumah Kak Budi di kampung air, dan dengan demikian merapatkan sempadan antara kewarganegaraan dan ketiadaan negara, antara hak-hak yang tertulis dan kehidupan tanpa jaminan keselamatan serta perlindungan.

Pokok-pokok mengkuang, yang digunakan oleh para penganyam Bajau Sama DiLaut, dikeringkan, diraut dan direbus dalam bahan pewarna komersial, tumbuh sepanjang pesisir pantai Pulau Omadal dan pulau-pulau sekitarnya. Pokok ini ditanam semula oleh komuniti di sana, lalu mewujudkan sebuah ekosistem yang lestari yang menyediakan bahan mentah untuk para penganyam tersebut. Orang Bajau Sama DiLaut menganyam dengan mengira, dari tengah keluar, agar corak-corak dan motif-motif yang diolah dengan warna-warna terang dapat memenuhi kerumitan serta kekayaan pelbagai reka bentuk mereka, sekaligus mengungkapkan warna-warni dan kepelbagaian kehidupan di laut dan di bawah laut.

Pus buluh yang digunakan oleh para penganyam Dusun/Murut di kawasan pedalaman, kata Julitah Kulintang, semakin sukar diperolehi. Pokok bemban dan bundusan yang pernah digunakan oleh nenek I-Lann dari suku kaum Kadazan untuk membuat anyaman ternyata hampir tidak dapat dicari lagi sekarang. Dengan menggunakan bahan yang lebih keras ini, sebahagian besar penganyam di kawasan pedalaman menganyam dengan “x” dan “+” untuk menghasilkan motif-motif dan corak-corak halus dalam anyaman itu sendiri. Motif-motif dan corak-corak ini diambil dan diilhamkan daripada alam sekitar dan haiwan-haiwan di kawasan pedalaman, kehidupan dan budaya penuaian padi dan sebagainya; kebanyakannya menggunakan warna hitam dari bahan semula jadi dan kadang kala warna merah dari bahan pencelup.

Elemen-elemen ini merupakan bahagian yang penting pada tikar; unsur-unsur yang menjadi bahan serta struktur asas kepada bahasa tampaknya.

Tiga karya tikar berjudul Mansau Ansau, Tukad-tukad dan 3 hovering Louvres yang menghadap ke arah laut menonjolkan perbezaan yang ketara daripada kenyataan-kenyataan terang dan lantang yang dibuat di atas pada tikar-tikar dari Pulau Omadal. Di sini, imej-imej beberapa jenis objek dipadankan dengan motif-motif yang direka bentuk agar kelihatan rata, lalu menimbulkan kesan ilusi optikal yang berubah-ubah.

Dalam karya 3 hovering Louvres, bentuk-bentuk seperti bayang-bayang tikar di bawah tiga buah jendela nako, dihasilkan dengan beberapa pola anyaman yang berlainan. Tikar yang kecil diolah dengan motif tradisional ulanut, dan jendela-jendela yang terapung digubah dengan pola anyaman yang diimprovisasi yang menimbulkan kesan seolah-olah cahaya terkena pada kaca-kaca jendela itu. Imej-imej ini disusun dalam ruang latar belakang yang dianyam dengan sejenis pola anyaman baru yang dicipta pada 2018 oleh Julitah, Lili Naming, Shahrizan bin Juin dan I-Lann. Pola anyaman baru ini mereka namakan mansau ansau, perkataan dalam bahasa Dusun yang membawa maksud “berjalan-jalan tanpa mengetahui ke mana arah tuju anda”.

Imej yang dihasilkan itu merakamkan pengalaman berbaring di atas tikar, sambil udara hangat dan bunyi-bunyian mengalir keluar masuk menerusi jendela-jendela nako (dalam bahasa Inggeris, louvre windows). Jendela itu merupakan jendela biasa di bilik tidur I-Lann pada zaman kanak-kanaknya. Namun tajuk karya tikar ini juga merujuk kepada dan bermain dengan nama Musée du Louvre di Paris yang melambangkan kepentingan dan pengaruh sejarah budaya serta seni Eropah. Oleh itu, karya tikar ini mengemukakan idea tentang menyeimbangkan kepentingan sejarah tersebut dan menghapuskan unsur pengaruh kolonial pada bahasa tampak dan imaginasi budaya kita.

Jendela nako muncul semula dalam karya Mansau Ansau, di dalam semacam sebuah bilik di bawah langit yang dipenuhi bintang-gemintang. Di tengah-tengah karya itu terdapat motif nantuapan, yang boleh bermaksud aramaiti, dengan pelbagai maknanya yang berkait dengan berkumpul dan berkongsi bersama-sama. Di atas, sebuah kipas siling mengitarkan udara; di bawah, sebidang tikar menyerupai ‘portal’ atau pintu gerbang yang darinya giuk berwarna-warni, seperti ulat atau kuman dari sebuah dunia atau memori lain, meledak memenuhi ruang. Di sebelah kanan, sebuah meja, iaitu simbol kepada kuasa dan ilmu (patriarki, kolonial) yang diterima tanpa dipersoalkan, dipaparkan bersama bayang-bayangnya yang mengganggu dan menghantui fikiran. Dalam karya Tukad-tukad, motif mansau ansau dan pinungoh nandayunan (rabung bukit tanpa penghujung) dan tukad-tukad (lelangit dalam mulut) menyusup antara jalur-jalur kaku yang lebar atau grid-grid geometri, seolah-olah diperangkap oleh atau mengambil alih pusat dan jaringan kuasa. Meja-meja terbalik.

Pelbagai jenis ilmu hadir di sini kerana imej-imej biasa dan motif-motif lama serta baru dianyam bersama-sama—warisan ilmu lama, memori peribadi dan teori budaya. Satu bentuk estetika yang dinamik tercipta apabila tangan dan minda sama-sama bekerja untuk menghasilkan apa sahaja yang mungkin.

Sebuah karya potret diri tanpa judul yang dihasilkan oleh Yee I-Lann dalam bentuk fotomedia (2017) dipamerkan di dalam ruang ini. Karya ini dibuat ketika I-Lann sedang dalam proses berpindah ke kampung halamannya di Sabah. Pelbagai makna turut dicampuradukkan di sini, kali ini disisipkan pada imej-imej fotograf, menanti untuk dibongkar dan ditafsir. Sebuah struktur pelik dalam keadaan tidak stabil yang nampaknya boleh runtuh pada bila-bila masa dipaparkan dengan berlatarbelakangkan puncak Gunung Kinabalu yang dianggap oleh I-Lann sebagai “kompas untuk pulang ke kampung halaman”. Figura kecil I-Lann muncul dalam beberapa kedudukan: terbaring di atas tikar tidak bercorak; menyandar, terhimpit, terbaring dan duduk di atas beberapa buah meja yang disusun bertingkat-tingkat. Sebatang pokok pisang menjulur keluar dari bangku plastik. (Sabah diberi nama sempena sejenis pokok pisang; menurut I-Lann, pontianak, ikon feminis yang ditukar menjadi raksasa dalam dunia lelaki, dikatakan tinggal di atas pokok pisang.) Dari bekas penyiram air, hos kuning menjalar keluar, melingkari struktur itu dan secara kasar menghasilkan garis bentuk peta Borneo. Kain selimut kapas dengan corak berbelang-belang—di bawahnya I-Lann lena dibuai mimpi—menyelimuti dirinya, dan kain ini juga ditebarkan ke atas struktur itu seperti layar atau langsir. Dalam karya ini I-Lann mengusung beban kuasa, ilmu dan keistimewaannya sendiri seraya menyedari bahawa dia boleh memilih karya apa yang ingin dihasilkannya dan untuk siapa. Di dalam bakulnya, I-Lann membawa cerita, harapan dan kerisauan komuniti-komunitinya, idea-idea mengenai ekonomi dan kesejahteraan rumah tangga, dan satu jalan penyelesaian.

Karya ini mengaitkan satu fasa dalam pemikiran I-Lann yang telah mendorongnya pulang ke kampung halaman, ke arah Gunung Kinabalu dan tikar anyaman, sewaktu dia melalui satu tempoh yang serba tidak menentu dan penuh dengan kebimbangan yang menakutkan: “paths of the wind weave shadows bare bones of a mat.

Ayat ini merupakan bab kelima dan terakhir dalam karya “esei” personal berjudul rasa sayang yang dimulakan pada 2012 sempena sambutan ulang tahun Merdeka kali ke-55. 

Tikar/Meja
deliver us from this long night

Kita berjalan keluar melintasi medan menuju ke arah bukit dan masuk ke dalam bangunan di seberang. Di sana kita berdepan dengan teks penuh karya rasa sayang—488 keping foto berwarna biru dan jingga, dua warna berkontras tinggi, disusun dalam beberapa barisan di atas dinding sepanjang 24 meter yang membahagikan ruang kepada dua. Setiap keping foto memaparkan imej manusia berpelukan yang membentuk satu huruf. Karya esei ini terdiri daripada sebuah tajuk, lima buah bab (setiap bab mengandungi sepotong ayat) dan sebuah epilog.

Karya ini dihasilkan dengan berlatarkan landskap sosio-politik Malaysia yang bersifat berpecah belah dan memecahbelahkan. Sebuah bab muncul setiap dua tahun sekali sebagai tindak balas peribadi dan emosional artis ini terhadap pelbagai peristiwa yang terjadi, termasuk dua pilihan raya umum yang bersejarah dan dijangka berkemuncak pada 2020, tahun yang digagaskan oleh Mahathir Mohamad untuk melahirkan negara Malaysia “yang benar-benar maju dari sudut perpaduan nasional dan kepaduan sosial, dari sudut ekonomi kita, dari sudut keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pentadbiran, mutu kehidupan, nilai-nilai kemasyarakatan dan kerohanian, kebanggaan serta keyakinan kepada negara”. Tajuk “rasa sayang” bukan sahaja menggambarkan perasaan cinta tetapi juga perasaan penyesalan dan kekecewaan.

Bab 1 bermula dengan frasa “the sun will rise in the east and deliver us from this dark night”. Pada 2012, Yee I-Lann, ketika itu tinggal di Kuala Lumpur, memandang ke arah kampung halamannya di Malaysia Timur dengan penuh harapan. Bab-bab seterusnya berperanan seperti surat yang ditujukan kepada “yang lain”, dengan masing-masing bab mengungkapkan tema kesangsian, kehampaan dan empati. Bab-bab itu ditulis merentasi jurang pemisahan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, antara pelbagai kelompok etnik, antara rakyat dan mereka yang berkuasa.

Imej-imej berpelukan itu dikirimkan oleh kaum keluarga serta sahabat handai di Malaysia Timur dan Malaysia Barat yang bekerjasama dengan I-Lann sebagai sebuah komuniti—komuniti peribadi I-Lann sendiri—untuk menghasilkan teks dan mesej tentang cinta dan hidup bersama. Untuk bahagian epilog, apabila tahun 2020 menyaksikan kegagalan melaksanakan pelbagai aspek dalam wawasan 2020 dan ketika dunia dilanda pandemik yang memisahkan ramai orang, I-Lann meminta dikirimkan imej-imej baharu yang merakamkan aksi berpelukan antara mereka yang masih mampu: “send me your arms in an embrace”.

Apabila kita bergerak ke belakang dinding sepanjang 24 meter itu kita berdepan pula dengan sebuah lagi karya besar yang menggabungkan beberapa buah karya: Tikar/Meja—60 bidang tikar komuniti Bajau Sama DiLaut dengan anyaman imej 60 buah meja.

Dalam karya-karya I-Lann, imej meja sering muncul sebagai lambang kepada kuasa pentadbiran, iaitu kuasa yang digunakan untuk mengawal orang lain—kuasa kolonial, patriarki, persekutuan, negeri. Meja berbeza daripada tikar yang tidak mementingkan hierarki, bertunjangkan komuniti dan berfungsi sebagai pentas terbuka.

Menerusi dinding kaca, karya Tikar/Meja menghadap ke hutan tebal Bukit Bendera dan lalu lintas di bandar. Karya ini menyampaikan pesanan dari mereka yang tidak bernegara kepada pihak pentadbiran yang memiliki kuasa untuk memberi mereka perlindungan dan status warga negara, mesej dari pinggiran ke pusat, dari rakyat yang duduk di atas tikar kepada rakyat yang duduk di meja”. Meja boleh digulung atau “dimakan” oleh tikar. Seperti dalam permainan “one two som”.

Di hadapan karya Tikar/Meja digantung sebuah arca anyaman berbentuk “topi” lalandau berkepala tujuh. Topi ini menjadi sebahagian daripada pakaian adat istiadat kaum lelaki Murut yang secara tradisinya dianggap sebagai pahlawan-pahlawan rimba yang ganas. Di bahagian atas topi ini selalunya ada “cerobong” terbuka yang melambangkan pokok-pokok hutan. Bulu burung lalandau dulu selalu diselitkan (sekarang bulu-bulu berwarna yang lain digunakan) di dalam cerobong ini. Dalam karya ini, tujuh buah topi disambungkan oleh tiub-tiub yang dianyam. Untuk karya PANGKIS, judul yang diberikan sempena teriakan kegembiraan pahlawan kerana menyambut kemenangan, iaitu teriakan animistik dengan suara garau yang sering mengiringi pelbagai upacara dan tarian Kadazan Dusun, I-Lann bekerjasama dengan Tagaps Dance Theatre, sebuah kumpulan penari muda yang mencampurkan gaya tradisional dengan gaya kontemporari. Arca anyaman ini digabungkan dengan permainan bunyi dan gerakan manusia untuk meneroka aspek keberakaran (rootedness) dan ilmu lama dalam pelbagai budaya masyarakat darat di Sabah, di samping menyorot sikap kelompok kaum lelaki (dan, lanjutan daripada itu, sikap politik).

Di dalam ruang kosong setinggi dua tingkat di sebelah dinding itu digantung sebidang tikar bersaiz besar yang mempunyai corak/imej pada kedua-dua permukaan depan dan belakangnya. Tikar ini dianyam dengan menggunakan pola anyaman biasa berunsur petak-petak yang sering ditemui di rantau nusantara. Pada permukaan depannya dianyam beberapa siluet besar meja yang seolah-olah menunjukkan bayang-bayang kuasa jatuh ke atas tikar komuniti Bajau Sama DiLaut ini. Garis-garis putih terang yang bersilang-silang menimbulkan kesan seperti biasan cahaya matahari yang terang.

Untuk melihat permukaan belakang tikar ini kita perlu turun ke tingkat bawah: di sini kita temui nama-nama penganyam tikar ini. Apabila ditanya apakah nama tikar ini, Kak Budi serta-merta menjawab: Tepo Aniya Nombor Na (Tikar Dengan Satu Nombor). Penganyam-penganyam itu sendiri tidak mempunyai nombor dan dokumen pengenalan diri, jadi mereka menuntut agar tepo mereka diberikan kehormatan untuk memiliki identiti. Mereka berjaya memperolehi identiti, pengiktirafan dan suara menerusi warisan budaya mereka.

you and me and you and i and you and you

Di tingkat bawah kita berada di paras jalan. Kita kembali semula ke bahagian permulaan esei ini yang menyebut tentang perkongsian tikar.

Berdepan dengan tingkap yang menghala ke jalan diletakkan sebidang tikar emoji yang besar. Ia merupakan satu-satunya karya dalam pameran ini yang dibentangkan seperti yang sewajarnya dibuat dengan tikar. Anda dan kawan-kawan dijemput duduk dan berbaring di atasnya. Di atas tikar Bajau Sama DiLaut yang berwarna terang ini tiada imej meja, tiada nama, tiada motif-motif warisan dengan beraneka lapisan maknanya. Sebaliknya, terdapat lebih daripada seratus emoji berwarna-warni, daripada emoji muka tersenyum yang biasa kita lihat sampailah kepada simbol-simbol yang mungkin tidak akan anda temui dalam telefon anda, seperti tapak sulaiman dan penyelam bawah laut. 

Emoji memainkan peranan yang sama seperti kebanyakan motif anyaman tradisional dalam mengungkapkan pengalaman seharian. I-Lann memerhatikan bagaimana penganyam selalu menghuraikan sesebuah motif bukan sahaja dari sudut apa yang dilambangkan atau diwakilinya secara visual tetapi juga dari sudut bagaimana perasaan yang mereka alami ketika menganyam sesebuah motif—seperti motif mansau ansau yang boleh bergerak ke merata-rata arah secara rawak. Dalam dunia kita hari ini emoji menyediakan satu bahasa yang dikongsi bersama yang tidak perlu ditafsirkan atau diterjemahkan dan hampir menjadi bahasa sejagat untuk kita semua. Kita barangkali semakin dapat memahami bahasa anyaman apabila kita cuba membayangkan bagaimana perasaan kita ketika menganyam emoji gembira atau emoji marah.

Di bahagian tengah di dalam ruang ini digantung dua bidang tikar Dusun/Murut yang dianyam padat-padat dengan baris-baris teks yang lurus. Lagu-lagu popular merupakan satu lagi medium yang menghubungkan antara sesama kita menerusi perasaan yang sama-sama kita alami, meskipun masing-masing kita mengenakan makna dan pengalaman berbeza terhadap perkataan-perkataan dalam lagu-lagu tersebut. Tikar-tikar ini berfungsi sebagai tikar-tikar “karaoke” untuk dinyanyikan sambil kita membaca teks-teks yang dianyam di atasnya. Nyanyian karaoke yang menjadi runut bunyi di seluruh Sabah. Apabila kita, di Kuala Lumpur, Manila, Melbourne atau Los Angeles, melihat dan membaca karya hello from the outside ini yang memaparkan lirik lagu-lagu karaoke yang popular hasil tinjauan ke atas para penganyam dari Pulau Omadal dan Keningau yang terlibat dalam projek kolaborasi ini, kita dapati kita berada dalam ruang budaya yang sama yang telah mengalami proses globalisasi seperti juga para penganyam itu.

Dengan menumpukan pada pengalaman kolektif yang lebih terbatas kepada lokasi setempat, Dusun Karaoke Mat: Ahaid zou noh doiti (I’ve been here a long time) mengandungi lirik-lirik dari beberapa buah lagu Dusun yang diminati dan sudah menjadi ikonik. Kebanyakan lagu ini muncul pada dekad 1970-an dan 80-an, satu ketika dulu pernah dilarang disiarkan di radio, dan kerap kali dinyanyikan sebagai aksi penentangan terhadap proses asimilasi, pemaksaan identiti kebangsaan dan globalisasi.

Untuk mengolah teks di atas tikar-tikar ini, I-Lann dan para penganyam mencipta sejenis fon “digital” dengan mengaitkan dua pola dalam kaedah anyaman mereka, iaitu + dan x, dengan bahasa digital dan juga mengaitkan unit asas segi empat sama kecil yang terhasil daripada anyaman dengan piksel digital. Emoji, atau piksel digital, sebagai unsur dalam bahasa kontemporari kita, dikenakan dengan bermacam-macam makna dan kemungkinan baru ketika dianyam pada tikar. Kita akhirnya sedar bahawa tradisi, seperti juga cerita, tidak terperangkap dalam masa dan boleh membantu kita mencari beberapa bahasa yang “you and me and you and I and you and you”—ringkasnya, kita semua—boleh tuturkan, bahasa-bahasa yang disisipkan dengan makna-makna yang berbeza dan sama untuk setiap orang.

Measuring Project mula dibuat selepas hampir kesemua tikar untuk pameran ini telah selesai dihasilkan. Karya ini berfungsi seperti buku lakaran untuk memikirkan tentang apa yang mungkin boleh dibongkar dan disingkapkan pada tikar. Ia dibuat dalam bentuk esei fotomedia dan diperkenalkan menerusi bab pertamanya dalam pameran sulung ini. Beberapa kumpulan orang diambil gambar dalam keadaan sedang melakukan pelbagai interaksi sosial atau berkumpul di atas tikar dengan berlatarkan sesetengah motif yang kita temui pada karya-karya lain.

Poster pameran Borneo Heart, yang menginspirasikan tajuk untuk pameran ini, mengisytiharkan bahawa Borneo terletak pada “kedudukan di tengah-tengah ASEAN dan menjadi jantung dunia”. Poster ini dikembangkan daripada satu hantaran Facebook yang dibuat semasa kebakaran hutan sedang marak di Borneo pada 2018 lalu menyebabkan berlaku jerebu yang sangat berbahaya, dan kawasan di tengah-tengah Borneo menjadi titik penghubung yang penting dan terancam kepada ekosistem-ekosistem alam semula jadi dunia—terletak di atas garisan khatulistiwa di antara Lembangan Congo dan Amazon yang membekalkan udara segar dunia.

Pameran Borneo Heart ini turut berani menyatakan satu pendirian pada detik dan titik kritikal yang menyaksikan dunia sedang bergelut dengan berbagai-bagai masalah berkaitan dengan pertukaran iklim dan usaha melenyapkan pengaruh kolonial dalam sistem kuasa, ilmu dan budaya. Suatu pendirian yang menuntut dicari jalan-jalan penyelesaian yang datang dari dalam komuniti-komuniti untuk membuat peralihan kuasa dari meja ke tikar. Pameran ini menyarankan bahawa seni boleh mengubah dunia dengan jalan memperkasakan komuniti-komuniti dan mencipta bahasa-bahasa baharu untuk tujuan bersama-sama menyampaikan cerita. Pameran ini membangkitkan semangat tamu dan menuntut kita memikirkan semula apa yang kita semua bawa ke atas tikar dan ke acara tamu.

Pastikan anda singgah di Kedai Kerbauworks sebelum meninggalkan pameran ini. Anda barangkali boleh membeli poster Borneo Heart atau tepo yang direka bentuk oleh para penganyam dari Pulau Omadal atau baju-T (setiap satunya berbeza) atau sekilo beras yang ditanam dari salah satu daripada 32 jenis padi tradisional di Kampung Tinuhan dan Kampung Lapasan Ulu di Tuaran.

Jika anda tidak dapat datang ke Kota Kinabalu, anda boleh membuat pembelian dalam talian di Kedai KerbauWorks (on-line shop, akan menyusul)

Beverly Yong

Alih-bahasa oleh Teratak Nuromar